KINSHASA, 28 SEPT – Wabak Ebola yang sedang melanda Wilayah Kasai di Republik Demokratik Congo (DRC) telah meragut 42 nyawa daripada 64 kes yang direkodkan setakat ini, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan kelmarin, ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru langkah pencegahan berskala global.
Daripada 64 kes yang direkodkan setakat 26 September, termasuk 53 kes disahkan dan 11 kes berkemungkinan, sebanyak 42 kematian dilaporkan, dengan 31 daripadanya membabitkan kes yang disahkan, kata Menteri Komunikasi dan Media wilayah, Bazin Pembe, seperti dipetik media tempatan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan terbarunya menyatakan kes melibatkan mereka berusia antara 0 hingga 65 tahun, dengan kanak-kanak berusia sembilan tahun ke bawah paling terkesan. – Bernama


