Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    42 maut dalam nahas bas di Afrika Selatan

    JOHANNESBURG, 13 OKT – Kira-kira 42 orang, termasuk warga Malawi dan Zimbabwe, maut apabila sebuah bas penumpang terbabas dan terhumban ke cerun di Afrika Selatan, menurut Menteri Pengangkutan wilayah Limpopo hari ini.

    Bas yang dalam perjalanan ke Zimbabwe itu terlibat dalam kemalangan kira-kira 90 kilometer dari sempadan kelmarin selepas pemandunya dipercayai hilang kawalan, kata Menteri Pengangkutan Limpopo, Violet Mathye.

    “Mereka masih bekerja di lokasi kejadian tetapi setakat ini 42 mayat telah disahkan,” kata Mathye kepada saluran Newzroom Afrika. Antara mangsa yang terkorban termasuk seorang anak damit perempuan berusia 10 bulan, katanya.

    Seramai 38 mangsa kini dirawat di hospital dan pasukan penyelamat masih mencari kemungkinan mangsa lain, lapornya kepada media eNCA.

    Bas berkenaan berlepas dari bandar Gqeberha di selatan, kira-kira 1,500 kilometer jauhnya, dan membawa penumpang warga Malawi serta Zimbabwe yang bekerja di Afrika Selatan. Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada keletihan pemandu atau kerosakan mekanikal, menurut Mathye.

    Afrika Selatan mempunyai rangkaian jalan raya yang maju dan sibuk, namun kadar kemalangan jalan rayanya tinggi, kebanyakannya berpunca daripada pemanduan laju, cuai dan kenderaan yang tidak selamat digunakan. – AFP

    Anggota polis dan pasukan penyelamat dilihat mencari mangsa di lokasi kemalangan di Louis Trichardt, Afrika Selatan, pada 12 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda