YAOUNDE, CAMEROON, 30 OKT – Sekurang-kurangnya 42 orang maut apabila rumah mereka dihanyutkan dalam tanah runtuh akibat hujan lebat di Bafoussam, barat Cameroon.
Media tempatan melaporkan pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus mencari mangsa yang masih hidup di celah-celah sisa runtuhan.
“Kerja mencari sedang dilakukan. Kami bimbang jumlah kematian akan terus meningkat,” kata seorang pegawai kanan yang enggan dikenali.
Seramai 42 mayat dibawa ke hospital di bandar, menurut kenyataan yang disiarkan di Radio Televisyen Cameroon (CRTV). Laporan media sebelum itu menyebut kira-kira 30 orang maut, dengan mangsa termasuk empat wanita hamil.
“Kesemua rumah yang runtuh itu dibina di bahagian bukit di zon berisiko,” kata pegawai di West Region, kira-kira 300 kilometer di barat laut Yaounde.
Katanya, tanah runtuh berkenaan diakibatkan oleh hujan lebat yang melanda seluruh negara sejak beberapa hari lalu, termasuk negara jiran, Republik Afrika Tengah dan Nigeria. Gambar tragedi Bafouassam yang tular di media menunjukkan runtuhan rumah manakala sekumpulan lelaki berusaha keras menggali timbunan lumpur untuk mencari mangsa terselamat. – AFP