Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Mesyuarat Islamic Military Counter Terrorism Coalition (IMCTC) Defense Ministers Council kedua telah diadakan di Riyadh, Arab Saudi kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, mesyuarat itu telah dirasmikan dan dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Kerajaan Arab Saudi, Duli Yang Teramat Mulia Putera Khalid bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.
IMCTC merupakan inisiatif yang ditubuhkan oleh kerajaan Arab Saudi pada tahun 2015.
Mesyuarat Pertama IMCTC Defense Ministers Council telah diadakan pada November 2017 di Riyadh, Arab Saudi bertujuan bagi membincangkan dan meningkatkan usaha dalam memerangi pengganasan di peringkat antarabangsa.
Mesyuarat kedua itu telah dihadiri oleh 42 buah negara ahli dan tiga buah negara pemerhati.


Mewakili Negara Brunei Darussalam dan selaku wakil kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir semasa mesyuarat tersebut ialah Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Riyadh, Arab Saudi, Dayang Norhafizah binti Haji Mohd Sofian dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam dan Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Riyadh, Saudi Arabia.
Mesyuarat kedua IMCTC dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan dituruti dengan sabda ucapan daripada DYTM Putera Khalid.
Antara agenda mesyuarat yang telah dibincangkan termasuk strategi dan pencapaian utama IMCTC serta inisiatif-inisiatif negara-negara anggota IMCTC bagi membanteras keganasan.
Secara berasingan, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua telah membuat perjumpaan dua hala bersama Penolong Menteri Pertahanan Saudi bagi Hal Ehwal Eksekutif, Dr Khaled bin Hussein Al-Biyari.
Semasa perjumpaan dua hala tersebut Yang Berhormat Pehin menyatakan ucapan menjunjung kasih daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia di atas jemputan DYTM Putera Khalid bagi menghadiri mesyuarat tersebut dan seterusnya menyatakan ucapan tahniah kehadapan majlis di atas kejayaan pengendalian mesyuarat IMCTC.
Di samping itu, kedua-dua belah pihak juga berbincang mengenai isu-isu cabaran keganasan di peringkat serantau dan global.
Pada akhirnya, kedua-dua belah pihak juga mengesahkan komitmen yang kuat ke arah memperkukuh dan mempertingkatkan lagi kerjasama pertahanan dan ketenteraan di antara Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Arab Saudi.
Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan IMCTC kedua diadakan sebelum berlangsungnya Pameran World Defense Show edisi kedua pada 4 hingga 8 Februari depan yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan, kerajaan Arab Saudi.

