Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    42 peserta JLPT terima sijil penghargaan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Seramai 42 orang peserta Ujian Kemahiran Bahasa Jepun (JLPT) telah menerima sijil penghargaan dalam majlis yang diadakan di Kediaman Duta Besar Jepun di Kampung Sungai Tilong hari ini.

    Daripada jumlah tersebut, dua orang berjaya lulus peringkat tertinggi iaitu N1, manakala dua orang lagi lulus peringkat N2, enam orang lulus peringkat N3, lapan orang lulus peringkat N4 dan 24 orang lulus peringkat N5.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Dr Haji Azman dan Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru serta Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Dr Hazri bin Haji Kifle yang mewakili jawatankuasa JLPT, telah menyempurnakan penyerahan sijil kepada para peserta yang berjaya.

    Dalam ucapan aluannya, TYT Maeda Toru mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang berjaya lulus ujian JLPT. Beliau mengakui bahawa bahasa Jepun bukanlah bahasa yang mudah dipelajari dan beliau turut kagum atas usaha para peserta yang gigih sehingga berjaya lulus dalam ujian tersebut. Beliau juga yakin bahawa program sedemikian dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Jepun dan Brunei serta mempromosikan budaya bahasa di antara kedua-dua buah negara JLPT daripada peringkat N3 hingga N5 telah dijalankan pada 4 Disember 2022 yang ditawarkan oleh Yayasan Jepun sejak tahun 1984 sebagai penilaian yang diiktiraf bagi penutur bukan asli bahasa Jepun.

    JLPT telah dilancarkan pada tahun 2008 di Negara Brunei Darussalam dan diadakan setiap Disember.

    Salah seorang peserta, Abigail Lim Yu Wei, yang mencapai keputusan cemerlang JLPT pada sesi Disember 2022, turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua peserta yang berjaya.

    Beliau juga berkongsi bahawa minatnya dalam budaya Jepun sejak kecil telah mendorongnya untuk mengikuti ujian tersebut. Dari situ, niatnya untuk mengambil kelas bahasa Jepun bermula sejak tahun 2019 selama 4 semester dan berpeluang mempelajari lebih dekat tentang budaya Jepun.

    JLPT 2023 akan diadakan pada 3 Disember 2023. Permohonan akan dibuka dari Ogos hingga September 2023.

    Dr Haji Azman dan TYT Maeda Toru bergambar ramai bersama para peserta yang menerima sijil penghargaan pada majlis tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda