Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Sebagai penghargaan dan penghormatan yang mendalam bagi warga emas yang dikasihi, Persatuan Fu Zhou Shiyyi Brunei Darussalam mengadakan Majlis Jalinan Mesra Warga Emas 2025 yang berlangsung di Bangunan Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei Darussalam, hari ini.
Hadir untuk sama-sama memeriahkan dan menyampaikan sumbangan penghargaan kepada warga emas yang diraikan ialah Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama, Xiao Jianguo.
Turut hadir, Presiden Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei Darussalam, Dr Andy Lau Sie Chuong, ahli-ahli Persatuan Fuzhou Shiyyi serta jemputan-jemputan khas.
Pada majlis berkenaan, TYT Xiao Jianguo dalam ucapannya menyatakan masyarakat Negara Brunei Darussalam termasuk masyarakat Tionghua sentiasa menitikberatkan kasih sayang, menghargai institusi kekeluargaan serta mengamalkan penghormatan terhadap warga emas dan ibu bapa.
Nilai-nilai itu, tambahnya, menyumbang kepada keharmonian dan semangat kekitaan dalam masyarakat Brunei.
Mengulas mengenai majlis jalinan mesra itu, TYT Xiao Jianguo berkata ia bukan sekadar majlis pertemuan kekeluargaan tetapi juga satu warisan budaya yang jelas menunjukkan semangat tolong-menolong serta penghormatan masyarakat Brunei terhadap warga emas.
Terdahulu, dalam ucapan alu-aluannya, Dr Andy Lau menyatakan majlis yang membawa tema, Kasih Sepanjang Usia, Menghargai Warga Emas, bukan sahaja mencerminkan penghormatan dan kasih sayang mendalam kita terhadap warga emas tetapi ia juga menunjukkan tekad serta tindakan kita dalam mewarisi nilai murni menghormati warga emas.
Majlis berkenaan menyaksikan 42 orang warga emas diraikan dan menerima sumbangan penghargaan yang disampaikan bersama oleh TYT Xiao Jianguo, Dr Andy Lau serta jemputan khas.







