Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Negara Brunei Darussalam tidak mencatatkan sebarang kes COVID-19 baharu setakat jam 12 tengah hari ini, mengekalkan jumlah kes keseluruhan 260 orang.
Sementara itu, tiada kes sembuh dicatatkan pada hari ini, menjadikan kes yang aktif kepada sembilan kes dengan kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dalam keadaan yang baik.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (420 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 119 kes.
Selain itu, sejumlah 862 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala sejumlah 20,714 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 483 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 140,882 ujian.
Bagi pemberian dos pertama dan dos kedua, seramai 82,193 telah menerima vaksin sejak ia dilaksanakan pada 3 April lalu. Sejumlah 14,365 orang menerima dua dos lengkap, manakala 67,828 baharu menerima dos pertama, setakat 26 Jun 2021, jam 5 petang.
Daerah Brunei dan Muara mencatatkan bilangan tertinggi pemberian vaksin iaitu 43,590 bagi dos pertama dan 11,158 bagi dos kedua, Daerah Belait berjumlah 10,046 bagi dos pertama dan 1,113 bagi dos kedua, Daerah Tutong berjumlah 9,415 bagi dos pertama dan 1,487 bagi dos kedua dan Daerah Temburong berjumlah 4,777 bagi dos pertama dan 607 bagi dos kedua.