Friday, March 14, 2025
32.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    422 komputer riba disumbangkan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Kementerian Pendidikan telah menerima sebanyak 422 komputer riba pelbagai jenama daripada beberapa buah syarikat di negara ini pada majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan 1, Ibu Pejabat Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Sumbangan berkenaan adalah sebagai respons kepada kempen derma peralatan komputer yang diusahakan bersama oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Info-Komunikasi dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI).

    Hadir bagi menerima sumbangan bagi pihak Kementerian Pendidikan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Majlis menyaksikan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) menyumbangkan sebanyak 42 unit komputer riba yang disampaikan oleh Pengarah Komersial, Dayang Farida binti Talib, dan Ketua Pegawai Maklumat BSP, Haji Malai Anwar Hussain.

    Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif #BSPCares, inisiatif yang dipimpin oleh BSP dengan tujuan untuk memberikan sokongan yang bermakna kepada masyarakat dalam masa sukar ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah ketika menerima sumbangan komputer daripada Adinin Group of Companies.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah ketika menerima sumbangan komputer daripada Komputer Wisman Sdn Bhd.
    Sebanyak 42 unit komputer riba yang telah disumbangkan kepada Kementerian Pendidikan daripada BSP.

    Sementara itu, sebanyak 350 unit HP Notebook pula telah diterima daripada beberapa buah syarikat dengan 130 unit daripada Bahteramas Holdings Sdn Sdn yang disampaikan oleh Pengerusi, Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa; Pengarah, Haji Awang Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Di-Gadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman dan Konsultan, Haji Shazali Tan Sri Dato Haji Sulaiman.

    Sebanyak 100 unit lagi disumbangkan oleh Adinin Group of Companies yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Awang Musa Adinin; 70 unit daripada Komputer Wisman Sdn Bhd yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Haji Sulaiman bin Haji Ahai; 25 unit disampaikan oleh Pengurus Besar ATDC Sdn Bhd, Muhammad Luqman Hakeem dan sebanyak 25 unit lagi disampaikan oleh Pengarah Aisha Automation Sdn Bhd, Awang Muhammad Afiq Musa.

    Sumbangan HP Notebook daripada syarikat-syarikat berkenaan diselaraskan oleh Komputer Wisman Sdn Bhd.

    Sementara itu, Joffren Omar Company Sdn Bhd pula menyumbangan 30 unit komputer riba jenama ACER yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Pengiran Mohd Noor Joffren bin Pengiran Omar.

    Majlis turut menyaksikan sumbangan sebanyak 18,000 penutup mulut dan hidung yang disampaikan oleh Max Wee Kok Lung dari Momo Insurance Agency; Tung Yun Mei dari Dreamcars88 Enterprise dan Alex Liew dari Digi-Mark Enterprise.

    Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta tetamu khas yang lain.

    Kempen untuk mengumpulkan peranti-peranti ICT bagi menyokong pembelajaran dalam talian untuk pelajar yang memerlukan itu dibuka sehingga 14 Mei.

    Sumbangan boleh disalurkan di Blok A, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal, Jalan Muara atau IBTE Kampus Jefri Bolkiah, Kuala Belait pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:30 petang

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda