Sunday, February 9, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    43 belia PBCTA terima sijil

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Seramai 43 orang belia dari keempat-empat daerah hari ini telah diraikan dan menerima penghargaan bagi penyertaan mereka dalam Program Belia Cinta Tanah Air (PBCTA) kali ke-12 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 tahun 2017.

    Hadir menyempurnakan penyampaian sijil yang berlangsung d Dewan Riadah, Pusat Belia ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Dato Paduka Dr. Haji Affendy pada majlis itu juga menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta lelaki contoh, Awang Mohamad Ridzwan bin Haji Moksin dan peserta perempuan contoh, Dayang Nurul Nadiah binti Radat.

    Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Zafri bin Haji Mohamed yang juga selaku pengerusi majlis dalam ucapannya menyatakan, para peserta PBCTA telah menyertai beberapa aktiviti seperti Upacara Menaikkan Bendera Besar Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan, kerja kemasyarakatan di keempat-empat daerah, Perkampungan BCTA, Perarakan BCTA di Bandarku Ceria, Majlis Kesyukuran Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan dan juga Perbarisan Lalu Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-33.

    Dato Paduka Dr. Haji Affendy menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta perempuan contoh, Dayang Nurul Nadiah, sambil disaksikan oleh Haji Zafri (kiri).
    Dato Paduka Dr. Haji Affendy menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta perempuan contoh, Dayang Nurul Nadiah, sambil disaksikan oleh Haji Zafri (kiri).
    Dato Paduka Dr. Haji Affendy menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta lelaki contoh, Awang Mohamad Ridzwan.
    Dato Paduka Dr. Haji Affendy menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta lelaki contoh, Awang Mohamad Ridzwan.

    “Ke arah meningkatkan lagi keberkesanan program, pihak jabatan telah pun meneliti dan mengenal pasti lima komponen penting yang diserapkan dalam rancangan pelaksanaan aktiviti-aktiviti bagi Perkampungan BCTA iaitu kepimpinan dan kenegaraan, sukarelawan, keagamaan dan kerohanian, sukan dan riadah serta keusahawanan,” ujarnya.

    Majlis tersebut turut menyaksikan tayangan video PBCTA 2017 yang disemarakkan lagi dengan persembahan koir daripada para peserta, kemudian penyampaian sijil penyertaan dan penghargaan.

    Antara objektif PBCTA diadakan adalah untuk mengadakan aktiviti kenegaraan ke arah meningkatkan lagi semangat patriotik para belia di samping menyuntik semangat mereka untuk bergiat aktif dalam mengikuti pelbagai aktiviti yang bersifat kepimpinan, kesukarelawan dan pembangunan belia serta menyemarakkan semangat setia kawan, bergotong-royong dan saling bantu-membantu antara satu sama lain.

    PBCTA merupakan program anjuran bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan juga Kementerian Hal Ehwal Ugama yang bermula sejak 16 Februari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda