BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL– Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN) telah menganjurkan Taklimat Kerjaya PSC dengan kerjasama Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC), bertempat di Ruang Latihan Tingkat 4, Wing B, Bangunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam baru-baru ini.
Taklimat berkenaan telah disertai seramai 43 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan alumni UNISSA. Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan menyeluruh tentang laluan kerjaya dalam sektor kerajaan serta membantu peserta memahami proses, kriteria, dan keperluan permohonan bagi menyertai perkhidmatan awam di Negara Brunei Darussalam.
Taklimat berkenaan disampaikan oleh Pegawai Kerja di Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Yang Mulia Dayang Norefna binti Abdullah yang mana beliau berkongsi tatacara pendaftaran dan penggunaan platform PSC Recruitment 2.0, sistem dalam talian yang digunakan untuk permohonan jawatan dalam sektor perkhidmatan awam.
Antara sesi yang dikongsikan adalah mengenai tips dan nasihat berguna berkaitan ujian bertulis dan sesi temuduga, termasuk persediaan mental, strategi menjawab soalan, serta aspek tingkah laku dan etika yang perlu ditekankan semasa proses pemilihan.
Hasil taklimat ini diharapkan dapat menjadi platform awal yang berguna bagi para pelajar dan alumni UNISSA untuk merancang hala tuju kerjaya mereka, seterusnya berkhidmat kepada negara dengan penuh komitmen dan integriti.