Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    43 maut kapal pecah

    ROM, 26 FEB – Pihak Pengawal Pantai Itali hari ini melaporkan menemui sekurang-kurangnya 43 mayat selepas kapal membawa pelarian pecah akibat keadaan laut yang bergelora di luar pesisir selatan pantai negara itu, menurut radio rasmi, RAI.

    Memetik pihak berkuasa pelabuhan yang enggan dikenali dekat bandar tepi pantai, Crotone, di Calabria, di hujung semenanjung Itali, RAI melaporkan kapal berkenaan, yang membawa lebih 200 pelarian, menghadapi masalah pada waktu subuh di Laut Ionia.

    Menjelang lewat pagi, kira-kira 80 pelarian berjaya ditemui, kata jurucakap pasukan bomba terbabit dalam operasi menyelamat, Luca Cari.

    “Buat masa sekarang, terdapat ramai mangsa,” katanya tanpa menjelaskan berapa ramai yang kehilangan nyawa memandangkan kerja mencari dan menyelamat (SAR) masih berterusan.

    Agensi berita Itali, AGI, melaporkan 43 mayat sudah ditemui terdampar di pantai termasuk anak damit berusia beberapa bulan, menerusi SAR menggunakan bot Pengawal Pantai, Polis Sempadan dan bomba.

    Butiran mengenai kerakyatan pelarian terbabit belum dikeluarkan dan tidak pasti di mana pelabuhan asal kapal itu, tetapi kebanyakan kapal membawa pelarian yang mendarat di Calabria sebelum ini berasal dari Turkiye atau Mesir. – AP

    Anggota menyelamat menemui mayat selepas bot pelarian pecah di laut bergelora, di pantai berdekatan Cutro, selatan Itali, kelmarin. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda