NEW DELHI, 8 DIS – Sekurang-kurangnya 43 orang maut dalam kebakaran sebuah kilang di New Delhi dan jumlah kematian dijangka terus meningkat.
Timbalan ketua jabatan bomba New Delhi, Sunil Choudhary berkata, kebakaran berkenaan bermula awal pagi tadi di sebuah kediaman lama yang terletak di satu kawasan sempit dipenuhi kilang kecil.
“Kami setakat ini berjaya menyelamatkan 50 orang. Ada ramai buruh dan pekerja kilang sedang tidur di dalam bangunan setinggi empat atau lima tingkat itu,” katanya sambil menambah, api berjaya dipadamkan namun kerja menyelamat masih berterusan.
Seorang pegawai kanan polis berkata, lapan atau sembilan orang berjaya diselamatkan tidak lama kemudian, menjadikan jumlah mangsa terselamat sekurang-kurangnya 58.
Pegawai bomba berkata, mereka berdepan kesukaran untuk memasuki premis kecil dan sempit di Sadar Bazar itu dalam keadaan gelap.
Siaran berita tempatan turut menyiarkan rakaman anggota bomba memapah penduduk keluar dari laluan sempit, menuju ke kenderaan kecemasan yang terletak berhampiran.
Menurut pihak bomba, bangunan terbabit dipenuhi beg sekolah dan bahan lain dan mereka masih belum dapat mengenal pasti punca kebakaran.
“Kesemua mangsa terselamat dikejarkan ke hospital dan 43 disahkan meninggal dunia. Terdapat beberapa mangsa yang masih berada dalam keadaan kritikal,” kata penolong pesuruhjaya polis Sadar Bazar.
Difahamkan, sebahagian besar mangsa yang meninggal dunia adalah disebabkan oleh lemas kerana terhidu asap. – AFP
