Friday, July 5, 2024
27.2 C
Brunei

    -

    43 sertai pertandingan pidato sejarah

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Sebagai usaha menyebarkan pengetahuan secara langsung mengenai persejarahan negara kepada masyarakat, Pusat Sejarah Brunei (PSB) telah mengadakan Pertandingan Pidato Sejarah Piala Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ke-4, Tahun 2024 bagi peringkat saringan bertempat di Dewan Jawatan Dalam, PSB, bermula hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat untuk sama-sama menyaksikan pertandingan bagi peringkat berkenaan ialah Pemangku Pengetua PSB, Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh.

    Pertandingan pidato bagi peringkat berkenaan yang berlangsung selama tiga hari itu akan diteruskan pada 4 dan 6 Julai di mana 43 peserta telah mendaftar untuk bertanding dalam dua kategori secara keseluruhannya.

    Seramai 12 peserta telah bertanding di bawah Kategori A yang dibukakan kepada belia berumur 18 hingga 35 tahun terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.

    Manakala Kategori B iaitu terbuka kepada pelajar Tahun 9 hingga 11 di sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta di Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan penyertaan seramai 31 orang.

    Salah seorang peserta mengambil bahagian dalam pertandingan pidato yang diadakan di Dewan Jawatan Dalam, PSB, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Panel juri melakukan penilaian semasa berlangsungnya pertandingan pidato bagi peringkat saringan kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Peserta bagi setiap kategori diberi peluang untuk memilih satu daripada 13 tajuk mengikut pengkategorian yang telah disediakan oleh PSB dan mereka diberikan masa selama tujuh minit untuk menyampaikan hujah pidato masing-masing.

    Empat orang juri atau hakim telah dipilih untuk mengadili pertandingan yang terdiri daripada Yang Di-Pertua Persatuan Sejarah Brunei, Dr Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; Pensyarah Program Bahasa Melayu dan Linguistik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Siti Badriyah binti Haji Mohd Yussof; mantan Ketua Bahagian Penerbitan dan Pemasaran PSB, Haji Rosli bin Haji Ampal dan Pensyarah Program Kesusasteraan Melayu, FASS UBD, Awang Mohammed Zefri Ariff bin Mohammed Zain Ariff.

    Dengan membawa tema Sejarah Pemangkin Kemajuan Negara itu, tiga kriteria penghujahan iaitu isi dan analisis; suara, kepetahan dan kefasihan; dan gaya persembahan, kreativiti dan teknik telah dinilai sepanjang sesi penghakiman.

    Daripada 43 peserta yang bertanding pada peringkat tersebut, hanya 10 orang peserta dengan markah tertinggi iaitu lima orang bagi setiap kategori akan mara ke peringkat akhir.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...