Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan UNISSA
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Seramai 43 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian, agensi swasta, pelajar dan orang persendirian telah menyertai Program Upskilling & Reskilling: Concept of Leadership from Islamic Perspective yang berlangsung di Kampus Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNISSA, di sini, program itu dikendalikan oleh Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam (FPPI) dengan kerjasama Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PKPSH), UNISSA di mana ia disampaikan oleh Penolong Profesor, Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Dr Ahamad Faosiy Ogunbado.
Kenyataan menyatakan bahawa program itu bertujuan untuk mendedahkan dan melengkapkan para peserta dengan konsep kepimpinan dari sudut Islam dan memupuk para peserta mengenai bagaimana kepimpinan Islam dapat diamalkan dalam masyarakat kita sekarang.

