Monday, January 6, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    43 terbunuh dalam serangan udara di Sudan

    KHARTOUM, 11 SEPT – Sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh dalam serangan udara di sebuah pasar di ibu negara Sudan, Khartoum, pada Ahad, lapor agensi Anadolu.

    Sindiket Doktor Sudan dalam satu kenyataan memaklumkan 55 orang turut cedera dalam serangan yang menyasarkan pasar terbuka di kejiranan Mayo di Khartoum Selatan.

    Kumpulan aktivis Bilik Kecemasan sebelum ini meletakkan angka kematian sekitar 40 orang. Dalang di sebalik serangan udara itu masih belum dapat dipastikan.

    Serangan berlaku di tengah-tengah pertempuran sengit antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di ibu negara itu.

    RSF menuduh tentera melakukan serangan udara di kawasan kejiranan Mayo, menurut laporan itu.

    Bagaimanapun, tentera Sudan menafikan tuduhan itu, menyebut dakwaan itu sebagai ‘mengelirukan’ dan ‘palsu.’

    Lebih 3,000 orang awam terbunuh manakala ribuan lagi cedera dalam pertempuran antara tentera dan kumpulan separa tentera sejak April, menurut pegawai perubatan tempatan.

    Beberapa perjanjian gencatan senjata hasil pengantaraan Arab Saudi dan AS gagal menamatkan keganasan di negara itu. – Bernama

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda