Wednesday, February 12, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    43 terima sijil

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Seramai 43 orang peserta Akademi Dakwah 4.0 terdiri daripada 21 orang lelaki dan 22 orang perempuan hari ini menerima sijil di Majlis Konvokesyen yang berlangsung di Auditorium, Sekolah Al-Falaah, cawangan Sungai Akar.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Program anjuran Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Urus Setia Program Keugamaan Belia dengan kerjasama Badan Sukarelawan Belia Daie dimulakan dengan bacaan Al-Quran dan ‘Ibrah oleh peserta-peserta akademi, Awang Muhammad Nur ‘Alim bin Abdullah Nordin dan Dayang Nurliya Syamimi binti Muhammad Nazirul Ezzwan. Ia diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi akademi, Awang Muhammad Fuad bin Matahir.

    Dalam ucapannya, beliau antara lain berharap agar ilmu yang diperoleh peserta akan dapat diterapkan dalam kehidupan seharian dan membantu membangun masyarakat yang lebih baik.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta akademi, kelmarin. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

    Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis yang menekankan betapa pentingnya peranan daie dalam membentuk dan membina masyarakat yang harmoni.

    “Sesungguhnya program ini telah menyatupadukan para belia yang berbakat dan bersemangat untuk menyebarkan dakwah secara menarik dan berkesan,” katanya.

    Bertemakan Daie Berimpak, Membangun Masyarakat, program selama dua bulan itu telah dibimbing oleh mentor-mentor Program Belia Keugamaan, KHEU, yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), badan-badan sukarelawan, dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dengan kemasyarakatan.

    Majlis diteruskan lagi dengan Penutupan Rasmi Akademi Dakwah 4.0 melalui persembahan syair bertajuk Salam Sayang dan tayangan video ristaan sepanjang program tersebut.

    Bagi mengiktiraf usaha dan komitmen para peserta, penganugerahan telah diberikan kepada peserta yang telah menonjol dalam standard yang ditetapkan.

    Kumpulan Terbaik Muslimin diberikan kepada Kumpulan Mujtahidun, manakala Kumpulan Terbaik Muslimat diberikan kepada Kumpulan Legasi Hawa.

    Seterusnya, penganugerahan Daie Aspirasi disandang oleh Dayang Nurilya Syamimi binti Muhammad Nazirul Ezzwan. Manakala, Anugerah Daie Muslim Terbaik disandang oleh Awang Mohammad Norhadi Yussof @Yusreen bin Abdullah dan Anugerah Daieyah Muslimah Terbaik disandang oleh Dayang Nur Izzy Aziah binti Ahmad.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda