Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    433 hadir meriahkan perhimpunan keluarga

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Seramai 433 ahli keluarga daripada Purih Mohamad telah menghadiri Majlis Perhimpunan Keluarga Purih Mohamad yang diadakan di Dewan Serbaguna, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Berakas.

    Majlis penuh kemesraan itu menghimpunkan ahli keluarga yang datang dari pelbagai daerah termasuk Limbang dan Trusan Lawas, bertujuan untuk mempererat tali silaturahim serta memupuk nilai kekeluargaan antara generasi.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan majlis tahlil yang dipimpin oleh Awang Suhif @ Syu’aib bin Haji Abdullah, kemudian disusuli dengan bacaan Doa Kesyukuran bagi memohon keberkatan atas pertemuan yang bermakna ini.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan Pencak Silat Cekak Asli Brunei oleh Haji Moksin bin Haji Agong dan Haji Mohammad Hasmadey bin Haji Marsidi, yang mendapat perhatian
    hadirin.

    Ucapan alu-aluan turut disampaikan Haji Mohammad Isa bin Haji Marsidi, selaku pengerusi majlis, yang antara lain menyatakan harapan agar ukhuwah kekeluargaan terus dikekalkan dan dimantapkan.

    Beliau turut mengumumkan bahawa acara bedudun akan diadakan di Trusan Lawas pada 16 November akan datang.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan syair oleh Awang Omar Sidek bin Murat dari Trusan dan Hajah Ropiah binti Ahmad yang melambangkan syair bertemakan warisan dan kasih sayang keluarga.

    Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai melibatkan semua yang hadir, termasuk pengambilan gambar setiap keluarga besar Purih Mohamad sebagai kenang-kenangan bagi acara yang penuh bermakna itu.

    Gambar ramai semasa majlis perhimpunan di Dewan Serbaguna,JBP, Berakas. – GAMBAR SERAHAN KELUARGA PURIH MOHAMAD
    GAMBAR SERAHAN KELUARGA PURIH MOHAMAD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda