SYDNEY, 7 JAN – Pengawal pantai Australia mengeluarkan amaran keselamatan susulan peningkatan kes lemas di seluruh negara itu pada awal musim panas, lapor Xinhua.
Menurut data Persatuan Penyelamat Diraja (RLSS), sebuah organisasi pendidikan utama keselamatan air, pendidikan renang dan penyelamat di Australia, seramai 44 individu dilaporkan lemas sejak musim panas bermula pada 1 Disember lepas.
Angka itu menyamai jumlah kes lemas bagi tempoh sama pada 2023 dan 2024 dan sedikit melebihi purata lima tahun iaitu 41 kes lemas bagi tempoh berkenaan. Daripada 44 kes lemas itu, 13 daripadanya berlaku antara Krismas pada 25 Disember dan Hari Tahun Baharu pada 1 Januari. – Bernama