MERON, 30 APRIL – Sekurang-kurangnya 44 maut akibat dipijak dalam kejadian rempuhan di sebuah makam ziarah Yahudi di utara Israel hari ini, kata perkhidmatan penyelamat.
Perkhidmatan kecemasan Magen David Adom (MDA), yang mengemaskini jumlah kematian di Twitter berkata ia berusaha untuk menyelamatkan puluhan mangsa yang cedera dan tidak akan berputus asa selagi mangsa terakhir dikeluarkan.
Kejadian berlaku di Gunung Meron di utara Israel. Punca sebenar masih belum jelas.
Insiden rempuhan itu berlaku ketika puluhan ribu Yahudi kebanyakannya golongan ultra-Ortodoks menyertai ziarah tahunan ketika sambutan perayaan Lag BaOmer, di Meron, di sekitar makam sarjana Yahudi Rabbi Shimon Bar Yochai.
Perkhidmatan kecemasan mengerahkan enam helikopter untuk memindahkan mangsa yang cedera.
Menurut sumber polis, kejadian itu berlaku apabila beberapa orang tergelincir ketika menaiki tangga, menyebabkan lebih ramai terjatuh.
Media Israel menyiarkan gambar deretan mayat yang ditutup dengan beg plastik.
Pihak berkuasa membenarkan 10,000 orang untuk berkumpul di lokasi makam itu tetapi penganjur berkata lebih 650 bas disewa dari seluruh negara yang membawa 30,000 orang ke Meron.
Kira-kira 5,000 polis dikerahkan untuk berkawal dalam perhimpunan awam terbesar di negara ini ketika wabak COVID-19 melanda. – AFP
