Oleh Yusrin Junaidi
TUTONG, 12 NOV – Seramai 44 Muslimah mewakili Kelas Bimbingan Muslimah dari 22 buah masjid di Daerah Tutong telah menyertai Bengkel Asas Juruacara Majlis di Masjid Kampung Tanjong Maya, Daerah Tutong, hari ini.
Bengkel itu adalah untuk memberikan pendedahan asas dalam bidang juruacara serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan penga-cara majlis, selain mengasah bakat, melatih teknik pertuturan yang jelas dan teratur, serta menanamkan keberanian untuk berucap di hadapan khalayak ramai.
Hadir pada bengkel tersebut, Pegawai Ugama Kanan selaku Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin.
Usaha ini selaras dengan matlamat Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU dalam membina kepimpinan dan keyakinan diri ke arah melahirkan muslimah berwibawa serta berperanan aktif dalam majlis-majlis rasmi dan keagamaan anjuran Kelas Bimbingan Muslimah.

Guru Ugama Terlatih Tingkat Khas yang juga Ketua Unit Kelas Bimbingan Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Hajah Nadhirah binti Haji Lahit selaku pemudah cara bengkel berkenaan.
Melalui bengkel ini, para peserta berpeluang mempelajari konsep pengacara secara formal dan tidak formal, di samping mempelajari kaedah penyusunan ayat serta penulisan skrip majlis.


Selain didedahkan kepada penggunaan gaya bahasa dan intonasi yang sesuai bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian ketika berucap.
Bengkel Asas Juruacara Majlis tersebut diungkayahkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong serta ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Tanjong Maya.
Bengkel tersebut dilaksanakan secara berjadual bagi Kelas Bimbingan Muslimah di seluruh negara.
Terdahulu, siri pertama bengkel berkenaan telah diadakan pada Oktober lalu di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, melibatkan peserta dari Kelas Bimbingan Muslimah Zon 5 dan masjid negara.
