HANOI, 24 MAC – Lebih 40 orang dihadapkan ke mahkamah di Vietnam hari ini berhubung perlombongan pasir haram di Delta Mekong, lapor media negara, sementara kebimbangan semakin meningkat mengenai kesan alam sekitar akibat eksploitasi berlebihan.
Seorang bekas pegawai kanan daerah yang menerima rasuah sebanyak AS$300,000 untuk membenarkan perlombongan di kawasan tersebut adalah antara 44 orang yang berdepan keadilan di mahkamah Ho Chi Minh City, dalam kes perlombongan pasir haram terbesar dalam sejarah negara itu, menurut akhbar Lao Dong.
Perlombongan pasir – terutamanya untuk simen yang digunakan dalam pembinaan – telah berkembang pesat di Vietnam dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menyebabkan amaran serius mengenai kesan alam sekitar.
Nguyen Thanh Binh, bekas pengerusi jawatankuasa rakyat di wilayah An Giang di delta sungai Mekong, dituduh menyalahgunakan kuasa, lapor akhbar mahkamah Cong Ly.
Dia dan pegawai lain mengarahkan anak buah untuk mengeluarkan lesen perlombongan pasir kepada syarikat Trung Hau 68 walaupun syarikat itu tidak layak, menurut laporan tersebut. Bekas CEO syarikat tersebut, Le Quang Binh, dituduh rasuah, melanggar peraturan mengenai penerokaan dan eksploitasi sumber semula jadi dan penggubahan wang haram.
Antara Disember 2021 dan Julai 2023, syarikat itu menjual lebih 3.7 juta meter padu pasir bernilai sekitar AS$11.5 juta, menurut Cong Ly.
Dalam laporan 2023 daripada kumpulan pemuliharaan WWF, pakar memberi amaran bahawa perlombongan pasir untuk menyokong lonjakan pembinaan di Vietnam mengurangkan sumber dengan begitu cepat sehingga Delta Mekong mungkin kehabisan pasir dalam masa lebih sedekad. – AFP
