Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    44 pemimpin masyarakat terima sijil

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Seramai 44 pemimpin masyarakat atau pemimpin akar umbi dari Daerah Brunei dan Muara telah diraikan pada majlis penutup dan penyampaian sijil setelah menamatkan Program Pemimpin Masyarakat kali ke-3 yang berlangsung di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta program ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd Khairul Sirajul Fikri bin Haji Jamaluddin.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat selaku Ketua Kampung Subok, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed selaku Ketua Kampung Putat; Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong selaku Ketua Kampung Lumapas B serta pegawai dan kakitangan daripada agensi-agensi berkenaan.

    Pada majlis itu, Pegawai Pengurusan Bencana di Bahagian Perancangan dan Analisis, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Dayang Siti Joriahati binti Johari dalam ucapan penutupnya menyatakan program itu bertujuan untuk mengukuhkan keupayaan pemimpin masyarakat dalam pengurangan risiko bencana melalui pertukaran ilmu dan pembangunan kapasiti serta bagi membina masyarakat dan negara yang berdaya tahan bencana demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di negara ini.

    “Saya juga berharap melalui program ini akan dapat mewujudkan rasa kekitaan atau sense of belonging dan meningkatkan hubungan kerjasama yang berterusan dengan pihak berkepentingan serta memupuk semangat kemasyarakatan dan perpaduan dalam kalangan pemimpin masyarakat di negara ini,” ujarnya.

    Sementara itu, Ketua Kampung STKRJ Mata-Mata Kawasan 1, 2 dan 3 Gadong, Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Said dalam ucapannya bagi mewakili para peserta program menyatakan sepanjang program dua hari itu, mereka memperoleh banyak maklumat baharu yang dipelajari dan difahami serta bertukar-tukar pendapat, pengetahuan dan gaya pemikiran yang berbeza semasa pembentangan daripada pegawai-pegawai yang dijemput dan semasa perbincangan berkumpulan.

    Beliau menyatakan harapan supaya program seumpama itu akan kerap diadakan pada masa mendatang dalam sama-sama memperoleh impak positif daripada hasil pertukaran buah fikiran.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta program dan sijil penghargaan kepada fasilitator program yang terlibat yang telah disempurnakan oleh Haji Mohd Khairul Sirajul Fikri.

    Haji Mohd Khairul Sirajul Fikri menghadiri Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program Pemimpin Masyarakat ke-3 yang berlangsung di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN NDMC
    Dayang Siti Joriahati menyampaikan ucapan penutup pada majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN NDMC
    Sesi taklimat dan pembentangan yang diadakan semasa Program Pemimpin Masyarakat Ke-3 yang berlangsung di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei-Muara, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN NDMC
    GAMBAR SERAHAN NDMC

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda