Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    44 syarikat beri latihan diraikan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Sebanyak 44 buah syarikat yang memberi latihan kepada pelajar-pelajar program HNTec Construction and Draughting (Dual TVET) cohort pertama telah diraikan pada majlis penyampaian sijil penghargaan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat menyampaikan sijil penghargaan pada majlis yang berlangsung di Dewan Betabur Kementerian Pembangunan itu ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria selaku Pengerusi Bersama MISC Construction.

    Majlis itu merupakan pencapaian penting bagi MISC Construction dalam mengambil langkah-langkah untuk memastikan sokongan berterusan melatih tenaga kerja tempatan dalam memperolehi kemahiran dan kompetensi yang relevan dalam industri pembinaan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan Industry Ready bagi anak tempatan.

    Program HNTec merupakan program yang diperkenalkan oleh Manpower Industry Steering Committee (MISC) Construction dengan kerjasama Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) untuk memenuhi permintaan industri pembinaan dan meningkatkan kemahiran anak tempatan.

    Yang Berhormat Menteri Pembangunan semasa menyampaikan sijil penghargaan. – Gambar oleh Azlan Othman

    Pengerusi Bersama MISC Construction, Ir Bahrin Haji Mohammad dalam ucapannya antara lain berkata, institusi-institusi tempatan menghasilkan sekitar 500 graduan dalam bidang pembinaan setiap tahun.

    Menurutnya, industri memainkan peranan yang penting dalam memastikan graduan ini bersedia untuk dunia sebenar yang semakin sukar dan mencabar setiap tahun dan ia bukan sahaja perlu memberikan tumpuan kepada teknikal malah pada kemahiran peribadi (insaniah).

    Program Dual TVET itu telah bermula pada Julai 2021 dan berakhir pada Jun 2023 dan sepanjang program itu, selain menghadiri kuliah, pelajar juga menjalani penempatan industri di syarikat-syarikat.

    MISC Construction pada masa ini sedang dalam perbincangan bersama IBTE untuk mencadangkan tambahan hari bagi pelajar-pelajar Dual TVET mendapatkan pengalaman hands-on di industri daripada di sekolah, meningkatkan bilangan hari di industri dan tempat kerja dari satu ke dua hari seminggu kepada tiga hari seminggu, iaitu peningkatan penempatan industri daripada 30 kepada 60 peratus dalam program dua tahun di IBTE.

    Seramai 95 pelajar yang kebanyakannya graduan O Level dan NTec telah berjaya dipilih untuk mengikuti program berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda