Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    440 dianugerahkan anak kunci rumah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah di bawah Skim Perumahan Negara (SPN) bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong, kelmarin.

    Keberangkatan Baginda Sultan di Dewan Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Jalan Ban 5, Kampung Kilanas, Mukim Kilanas telah dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Mohd Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.

    Di bawah SPN, 440 orang telah dianugerahkan anak-anak kunci rumah, yang mana daripada jumlah tersebut seramai 397 orang penerima dari Daerah Brunei dan Muara dan 43 orang penerima dari Daerah Tutong. Seramai 404 penerima telah diperuntukkan rumah jenis teres; 29 orang unit pangsapuri; seorang unit rumah jenis kembar dan enam orang unit rumah jenis kluster.

    Terdahulu, Surah Al-Fatihah telah dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Haji Sahrin bin Haji Kadih, diikuti sembah alu-aluan daripada Pengiran Mohd Ameer Mubaarak.

    Dalam sembah alu-aluan berkenaan, Pengiran Mohd Ameer Mubaarak merafakkan sembah menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang bercemar duli bagi menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah tersebut.

    Baginda Sultan berkenan dijunjung beramah mesra bersama penduduk Perumahan Negara Kampung Lugu, Mukim Sengkurong. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama keluarga Awang Shahrun. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: Baginda Sultan berkenan menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah kepada penerima pada majlis yang diadakan baru-baru ini. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama keluarga Awangku Mohammad Sah Doney. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Penerima bergambar bersama plak anak kunci pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Beliau turut menambah penganugerahan itu sudah tentunya memberikan sinaran cahaya kehidupan dan tempat berteduh yang lebih selesa kepada para penerima.

    Pengiran Mohd Ameer Mubaarak turut menyembahkan dalam ucapannya, selaku rakyat dan penduduk yang bernaung dan berlindung di bawah payung pemerintahan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia, akan terus-menerus mendukung kepimpinan dan kedaulatan Baginda Sultan serta membaharui ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai raja yang disayangi dan disanjungi.

    Rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Baginda Sultan sentiasa mendapat taufik serta kurnia limpahan rahmat dan sentiasa berada di dalam keredaan dan perlindungan Allah SWT dan kekal karar memerintah di atas takhta singgahsana kerajaan Negara Brunei Darussalam.

    Sejurus selesai menyempurnakan majlis penganugerahan berkenaan, Doa Selamat telah dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

    Baginda Sultan kemudiannya berkenan melawat ke tiga buah institusi pendidikan iaitu Sekolah Menengah Sayyidina Hasan; Sekolah Rendah Sengkurong dan Sekolah Rendah Awang Haji Mohd Yusof, Kampung Katimahar.

    Selepas lawatan, Baginda kemudian berkenan berangkat ke rumah Pemangku Ketua Kampung Lugu dan Kampung Katimahar, Haji Bujang bin Haji Abd Ghani.

    Dari rumah Pemangku Ketua Kampung Lugu dan Kampung Katimahar, Baginda dijunjung berangkat melawat ke beberapa rumah penerima anak-anak kunci rumah teres di bawah Perumahan Negara Kampung Lugu iaitu Awangku Mohammad Sah Doney bin Pengiran Daud, Awang Shahrun bin Haji Ibrahim @ Sharbini, Dayang Evy Pollena @ Norbatrisyia Imanina binti Abdul Razak dan Awang Hazwan bin Haji Tahir.

    Bagi mengakhiri majlis keberangkatan, Baginda berkenan dijunjung berangkat ke Dewan Royal Berkshire, Tarindak D’ Polo, Jerudong bagi Majlis Santap Tengah hari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda