BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Kempen derma darah besar-besaran sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2025 berjaya mengumpulkan sebanyak 449 pain darah dalam dua hari penganjurannya, yang berakhir kelmarin di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
Hari pertama kempen yang berlangsung Khamis lalu mencatatkan 194 pain darah, manakala hari kedua menyaksikan peningkatan kepada 255 pain, hasil sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Kempen anjuran Kementerian Kesihatan dengan kerjasama imagine Sdn Bhd itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam khususnya dalam kalangan belia mengenai kepenti-ngan menderma darah serta keperluan berterusan terhadap bekalan darah yang selamat dan mencukupi.
Dengan tema Derma Darah, Beri Harapan: Bersama Kita Membantu Menyelamatkan Nyawa, kempen tersebut menggariskan sumbangan penting penderma darah dalam memberikan peluang kehidupan baharu kepada pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan darah.
Acara kelmarin turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 10 penderma darah teratas, melibatkan dua kategori – lima penderma teraktif secara keseluruhan dan lima penderma belia berusia antara 17 hingga 25 tahun.
Haji Moksin bin Haji Karim diumumkan sebagai penerima anuge-rah penderma darah teratas dengan jumlah pendermaan sebanyak 208 unit, manakala Awang Nabil Safwan bin Suhaili, sebanyak 18 unit diiktiraf sebagai penderma belia teratas. Kedua-dua penerima membawa pulang Samsung Galaxy Tab A9 tajaan imagine dan barangan sumbangan daripada penaja-penaja kempen.
Hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Pengarah Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Nor Azian binti Haji Hafneh dan Pengarah dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif imagine Sdn Bhd, Allen On Hsien Yung.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja dan rakan strategik yang menjayakan kempen itu.