Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Maktab Duli
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Seramai 45 orang Pembimbing Rakan Remaja (PRR) Tahun 2023/2024 Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), Gadong telah menerima sijil lantikan mereka dalam majlis yang berlangsung di Pusat Perkhidmatan Pembelajaran Pelajar (SLSC), Maktab Duli pada 27 Mei lalu.
Majlis yang dianjurkan oleh Unit Kaunseling, Maktab Duli, itu dihadiri oleh Pengetua Maktab Duli, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad.
Turut hadir ialah kumpulan pentadbiran maktab berkenaan dan Kaunselor Maktab Duli yang baharu, Hajah Siti Azizah binti Haji Wahsalfelah.
Dayangku Hajah Nooramaliatifah dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada PRR 22/23 atas komitmen dan tanggungjawab mereka untuk menganjurkan pelbagai aktiviti bagi maktab berkenaan pada 2022 dan 2023.
Pada majlis itu, Hajah Siti Azizah mengucapkan tahniah kepada kumpulan baharu PRR yang baru dilantik di mana mereka adalah amat penting dalam unit kaunseling dengan menggunakan pengetahuan serta bakat untuk menolong rakan-rakan sebaya dalam membuat keputusan berhubung isu dan cabaran berkaitan kehidupan.
Unit Kaunseling telah melantik seramai 45 orang PRR yang baharu bagi tahun 2023/2024 di mana kumpulan berkenaan telah melalui siri sesi temu bual sebelum pelantikan mereka dan menghadiri Kem Duli PRR pada 14 Mei lalu.
Antara peranan PRR adalah untuk mengenal pasti pelajar-pelajar atau rakan sebaya yang memerlukan konsultasi, menghadiri mereka yang memerlukan bantuan serta mengendalikan projek atau acara bagi komuniti maktab.
Pada majlis itu, pelantikan Awang Ahmad Izzul Islam bin Haji Mohammad Azrin sebagai Presiden PRR yang baharu dirasmikan dengan penyerahan rompi (vest) presiden kepadanya oleh bekas Presiden PRR, Awang Mohd Sahzwan bin Lamat.
Majlis turut menyaksikan naib-naib presiden PRR yang baharu iaitu Dayang Nur Farah Waheedah binti Dr Mohd Zamri dan Raihan Gonzales Humdhan, menerima rompi PRR
mereka.