PHNOM PENH, 29 MAC – Empat puluh lima orang cedera, lima daripadanya kritikal, apabila sebuah kereta api merempuh sisi sebuah bas di persimpangan kereta api di barat laut Kemboja hari ini, kata polis.
Jeneral Sar Theng, ketua polis wilayah Pursat berkata nahas di daerah Krakor berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila bas itu cuba melintasi landasan walaupun kereta api yang datang telah membunyikan honnya dengan kuat ketika ia menghampiri.
Kereta api itu melanggar bahagian tengah bas, menolaknya beberapa meter, katanya. Pemandu bas itu melarikan diri, meninggalkan penumpang yang cedera, yang dibantu oleh polis dan penduduk kampung dan dibawa ke hospital untuk rawatan, tambahnya.
Sar Theng berkata sebelum ini terdapat palang di persimpangan itu tetapi ia telah rosak dan belum diganti. Beliau berkata terdapat papan tanda besar yang dipasang di jalan raya yang memberikan amaran tentang persimpangan kereta api di hadapan dan menggesa pemandu untuk bergerak perlahan.
Ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk lintasan kereta api di Kemboja tidak mempunyai penghalang keselamatan.
Sar Theng berkata kesemua penumpang bas itu adalah warga Kemboja yang dilaporkan telah menyewa kenderaan tersebut untuk lawatan ke resort semula jadi di atas gunung. – AP