Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    45 pelajar dan guru terima sumbangan

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Sejumlah $12,880 telah disumbangkan kepada 45 orang pelajar dan guru yang menjadi mangsa kebakaran dan rumah roboh pada Majlis Penyampaian Derma Kementerian Pendidikan yang telah diadakan di Dewan Persidangan P1, Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Derma Kementerian Pendidikan tersebut disumbangkan kepada guru dan pelajar-pelajar yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Mentiri, Kampung Lumapas, Kampung Limau Manis, Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Kampung Saba Laut, Kampung Bakut Siraja

    Muda ‘A’, Kampung Tanah Jambu (STKRJ) Sungai Buloh, Flat F6, Bilik No. 3 Lorong 109, Penanjong Kem, Barik Jalan Pelumpong Pantai Muara, Kampung Bebatik Kulapis dan Kampung Sumbiling Lama.

    Sementara itu, sumbangan juga diberikan kepada mangsa rumah roboh di Kampung Sungai Matan dan juga keluarga pelajar mangsa lemas.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan derma berkenaan ialah Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee.

    Hajah Anis Faudzulani semasa menyampaikan derma kepada salah seorang pelajar yang menjadi mangsa kebakaran baru-baru ini.
    Sesi bergambar ramai bersama guru dan pelajar-pelajar yang menerima sumbangan.

    Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat), Haji Ismail bin Haji Zainal dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis menjelaskan bahawa sumbangan wang ringgit itu adalah hasil kutipan derma daripada jabatan-jabatan, bahagian dan unit di Kementerian Pendidikan dan juga daripada sekolah-sekolah rendah, menengah, maktab-maktab serta pusat-pusat tingkatan enam kerajaan di seluruh daerah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan.

    “Sumbangan derma yang dihulurkan merupakan tanda rasa pemedulian dan prihatin pihak Kementerian Pendidikan terhadap musibah yang telah menimpa guru dan pelajar-pelajar berkenaan,” katanya.

    Haji Ismail berharap sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban yang dialami oleh guru dan pelajar-pelajar berkenaan dalam terus meningkatkan kemajuan dan kejayaan pelajar-pelajar.

    “Adalah juga diharapkan sumbangan yang diberikan ini nanti dapat digunakan dengan sebaiknya bagi perkara-perkara yang menjadi keperluan utama dan yang benar-benar diperlukan,” tambahnya.

    Majlis tersebut juga diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada ahli keluarga dua orang pelajar Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam, Serasa, yang menjadi mangsa lemas di Pantai Meragang pada 7 Januari lalu.

    Turut hadir di majlis itu ialah Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Marina Chek binti Bujang, ketua-ketua bahagian dan unit di Jabatan Sekolah-sekolah, para jemputan khas, pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan, para pemimpin sekolah serta ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar yang terlibat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda