KUCHING, 18 Okt – Seramai 45 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) daripada pelbagai fakulti baru-baru ini telah menyertai program ‘Kampung Life’ anjuran Fakulti Kejuruteraan universiti berkenaan sempena Minggu Kejuruteraan.
Program selama dua hari itu berlangsung di Kampung Semadang, Jalan Puncak Borneo dan para peserta berpeluang menginap di Maasa Jungle Homestay di kampung itu dan terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk mengecat jambatan gantung di Kampung Semadang serta membersihkan kawasan di sekitarnya.
Pengarah program berkenaan Mahathir Mohd Noor berkata melalui program itu, pelajar terlibat berpeluang mempelajari nilai-nilai bekerjasama dan didedahkan dengan pengalaman melakukan aktiviti sukarelawan.
“Para peserta juga mendapat pengalaman tinggal di kampung dan berpeluang melihat dan mempelajari cara kehidupan di kampung,” katanya dan menambah turut diadakan acara sukaneka, zumba dan majlis barbeku.

Seorang peserta program itu, Frannesa Frankie berkata menerusi program itu para peserta berpeluang untuk bergaul serta mengeratkan setia kawan sesama mereka.
Ketua Kampung Semadang, Samson Mangang pula mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pelajar Unimas itu kerana telah memilih kampung beliau untuk program berkenaan.
Beliau berkata pihaknya amat mengalu-alukan pelajar atau mana-mana organisasi yang berminat untuk mengadakan program kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di kampung berkenaan.
Turut mengiringi para peserta ialah Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan Unimas Dr Nazeri Abdul Rahman dan Mohd Azrin Mohd Said selaku penasihat IEM-SAFE Unimas. – Bernama