Wednesday, February 12, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    45 sampel produk madu tidak patuh Peraturan-peraturan Makanan 1985 – KKM

    KUALA LUMPUR, 14 FEB – Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati 45 daripada 769 sampel produk madu pelbagai jenama tidak mematuhi standard ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap syarikat dan produk terlibat.

    KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa menjalankan pemantauan produk madu di pasaran dan 769 sampel produk madu pelbagai jenama itu telah diambil dari 2016 sehingga kini.

    “Berdasarkan Peraturan 130, Peraturan-peraturan Makanan 1985, produk madu perlu mengikut standard yang ditetapkan antaranya mengandungi tidak kurang daripada 60 peratus gula penurunan, mempunyai kandungan sukrosa tidak lebih 10 peratus dan tidak boleh mengandungi hydroxymethylfurfural lebih daripada 80 mg/kg,” menurut KKM dalam kenyataan hari ini.

    Kenyataan itu juga memaklumkan Seksyen 13(2)(e) memperuntukkan tiada seseorang boleh menyediakan atau menjual sebarang makanan yang diadukkan jika tidak mematuhi standard atau spesifikasi ditetapkan mana-mana peraturan yang dibuat di bawah akta terbabit.

    “Seseorang yang didapati melanggar peruntukan ini apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” menurut KKM.

    Kementerian juga memaklumkan KKM sedang menjalankan kerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Pertanian bagi menentukan ketulenan madu menggunakan teknik isotop sebagaimana disarankan standard makanan antarabangsa Codex. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda