BANGKOK, 16 JAN – Laporan Majlis Penasihat Khas Myanmar (SAC-M) mendapati lebih 45 syarikat dari kira-kira 13 negara membekalkan produk untuk menghasilkan senjata bagi kegunaan tentera Myanmar ke atas rakyatnya.
Laporan – ‘Fatal Business: Supplying the Myanmar Military’s Weapon Production’ menyatakan syarikat asing telah membekalkan atau terus membekalkan produk pembuatan senjata di kilang pembuatan senjata (biasanya dirujuk sebagai KaPaSa) Direktorat Industri Pertahanan (DDI) tentera Myanmar.
Laporan itu juga mengenal pasti syarikat-syarikat berkenaan bermastautin di Austria, Perancis, China, Singapura, India, Israel, Ukraine, Jerman, Taiwan, Jepun, Rusia, Korea Selatan termasuk Amerika Syarikat dan menyediakan bekalan penting bagi penghasilan senjata itu.
Laporan itu memetakan lokasi kilang KaPaSa dan pengeluaran serta kedudukan kawasan yang mempunyai kepentingan strategik bagi pembuatan senjata DDI.
“Syarikat yang dikenal pasti dalam laporan (membekalkan pengeluaran senjata tentera Myanmar) harus segera menghentikan perniagaan dengan Industri Pertahanan tentera Myanmar dan syarikat bersekutu serta menyiasat bagaimana produk mereka akhirnya digunakan di kilang KaPaSa.

“Selain itu, syarikat-syarikat berkenaan juga harus mengambil langkah produktif mengekang produk mereka digunakan secara berbahaya oleh DDI pada masa hadapan melalui usaha mengenal pasti, mencegah dan mengurangkan risiko berkaitan dengan penjualan/pelesenan dan penggunaan produk mereka di Myanmar, ” menurut laporan itu.
Laporan itu menggunakan pelbagai sumber termasuk dokumen yang bocor daripada Kementerian Pertahanan yang dikawal tentera Myanmar dan DDI, rekod penghantaran, temu bual dengan individu yang dahulu dikaitkan dengan tentera Myanmar dan bukti fotografi yang dikongsi serta daripada sumber terbuka.
Sementara itu, Chris Sidoti dari SAC-M dalam satu kenyataan berkata senjata yang dihasilkan di kilang KaPaSa tentera Myanmar telah digunakan untuk kekejaman terhadap hak asasi manusia selama beberapa dekad.
“Negara-negara ini mesti menyiasat dan jika perlu memulakan prosiding pentadbiran atau undang-undang terhadap syarikat yang dikenal pasti membenarkan DDI menghasilkan senjata untuk kegunaan tentera Myanmar.
“Syarikat asing yang mengaut keuntungan daripada penderitaan rakyat Myanmar mesti bertanggungjawab,” katanya. – Bernama