Oleh Syahmi Hassan & Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Seramai 453 orang telah mendapatkan vaksin mereka semasa Perkhidmatan Vaksinasi COVID-19 Bergerak yang dijalankan di Pusat Kesihatan Lamunin, Tutong pada 18 hingga 21 Oktober 2021.
Perkhidmatan vaksinasi bergerak itu beroperasi dari jam 9 pagi hingga 2:30 petang adalah dikhususkan bagi memudahkan para penduduk Mukim Lamunin dan sekitarnya untuk mendapatkan suntikan vaksin mereka.
Perkara tersebut adalah antara yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung pada petang tadi.
Perkhidmatan tersebut turut membolehkan para penduduk setempat mendapatkan suntikan COVID-19 secara ‘walk-in’.
Di samping itu, bagi mereka yang tidak mampu untuk hadir sendiri ke pusat kesihatan tersebut disebabkan masalah kesihatan, Kementerian Kesihatan juga telah menjalankan program vaksinasi di rumah-rumah persendirian.
Sementara itu, Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak akan dilanjutkan lagi di Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Asam pada 22 Oktober (dari jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari) dan 24 Oktober (dari jam 9 pagi hingga 2:30petang), khusus untuk penduduk di Kampong Ayer dan kawasan sekitarnya.
