Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Sebanyak 459 kilogram sampah telah dikumpulkan semasa kempen kebersihan pantai yang telah diadakan baru-baru ini di Pantai Muara.
Kempen anjuran Persatuan India Bandar Seri Begawan (BSBIA) itu diketuai oleh Presiden BSBIA, Murugesan dan acara kempen dimulakan dengan penyampaian penerangan ringkas mengenai kepentingan membersihkan pantai oleh pengerusi kempen, Senthil Raja.
Manakala, Naib Presiden Deivendra Parbu mengatakan, “Penganjuran kempen berkenaan mendapat kebenaran dari Kementerian Pembangunan, dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.”
Hasil kutipan sisa sampah yang dikumpulkan kemudian dibuang ke tapak pembuangan di Kampung Sungai Akar.