Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    46 mati lemas ketika meraikan perayaan Hindu

    PATNA, 26 SEPT – Sekurang-kurangnya 46 orang, termasuk 37 kanak-kanak mati lemas ketika meraikan perayaan Hindu di timur India, kata seorang pegawai kerajaan tempatan kepada AFP hari ini.

    Mangsa-mangsa lemas dalam kejadian berasingan di negeri Bihar ketika sedang mandi beradat di sungai dan kolam yang melimpah akibat banjir baru-baru ini, kata seorang pegawai dari Jabatan Pengurusan Bencana Bihar kepada AFP.

    “Orang ramai mengabaikan paras air yang berbahaya di sungai serta kolam ketika mandi untuk menyambut perayaan ini,” kata pegawai tersebut, yang enggan dikenali kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media.

    Kejadian lemas berlaku sejak Selasa di 15 daerah di negeri Bihar ketika para penganut Hindu meraikan perayaan Jitiya Parv, yang disambut oleh ibu-ibu untuk kesejahteraan anak-anak mereka.

    Pihak berkuasa masih berusaha mencari tiga mayat lain, kata pegawai tersebut.

    Jitiya Parv berlangsung selama beberapa hari dan juga disambut di negeri-negeri jiran Uttar Pradesh dan Jharkhand, serta di beberapa bahagian di dataran selatan Nepal.

    Kerajaan negeri Bihar telah mengumumkan pampasan bagi setiap keluarga mangsa, kata pegawai kerajaan tersebut. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda