BANDAR SERI BEGAWAN,10 JUN – Sebanyak 46 pain darah telah berjaya dikumpul oleh kira-kira 50 individu yang menyertai Kempen Maritah! Menderma Darah anjuran Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, yang diadakan di Kompleks Beli-belah Onecity, hari ini.
Kempen itu diadakan bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025 sebagai inisiatif memperkukuh semangat tanggungjawab sosial serta menyokong usaha Pusat Pendermaan Darah dalam memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi.
Mengangkat tema Merah mengalir untuk kehidupan. Hijau tumbuh untuk masa depan, kempen berkenaan turut menekankan kepentingan memelihara kesihatan masyarakat dan alam sekitar secara seimbang, selari dengan matlamat untuk membentuk komuniti dan persekitaran yang sihat.
Pihak JASTRe ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pusat Pendermaan Darah atas kerjasama yang diberikan sepanjang kempen diadakan serta kepada para penderma yang telah menyokong kempen ini.



