Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Sebanyak 46 pasukan sepak takraw beraksi bagi merebut gelaran juara dalam Kejohanan Liga Super Sepak Takraw TAIB 2025 anjuran Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) selaku penaja utama liga yang bermula pada 5 Oktober hingga 2 November.
Sehubungan dengan itu, Majlis Pembukaan Rasmi Kejohanan Liga Super Sepak Takraw TAIB 2025 berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian kejohanan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis dimulakan dengan perarakan masuk barisan pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan, diikuti dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dimainkan dan disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa dipimpin oleh Pegawai Penganalisa di Jabatan Belia dan Sukan, Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim.
Majlis perasmian seterusnya menyaksikan lafaz Ikrar Atlet Liga Super Sepak Takraw TAIB 2025 oleh Abdul Hadi bin Metali dan lafaz Ikrar Teknikal Liga Super Sepak Takraw TAIB 2025 oleh Ramlan bin Haji Mohd Said.



Yang Berhormat Dato turut diperkenalkan kepada ketua-ketua pasukan yang menyertai kejohanan berkenaan sebelum menyaksikan perlawanan pembukaan Liga Super Sepak Takraw TAIB 2025 di antara Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei A (MS PPDB A) menentang Muara Spurs B.
Perlawanan-perlawanan seterusnya akan diadakan pada setiap Ahad di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Tutong iaitu pada 12 dan 19 Oktober bagi pusingan pertama. Manakala, pusingan kedua dan perlawanan suku akhir akan diadakan pada 26 Oktober juga di Kompleks Sukan Tutong.
Di samping itu, peringkat separuh akhir dan peringkat akhir akan diadakan pada 2 November di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah yang akan diselajurkan dengan majlis penutupan rasmi dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Penganjuran kejohanan buat kali ketiga itu mempertandingkan sebanyak dua kategori iaitu Liga Perdana dan Liga Amatur yang akan melibatkan seramai 14 pasukan bagi acara Liga Perdana dan 32 pasukan bagi acara Liga Amatur.
Johan bagi Liga Perdana akan menerima hadiah wang tunai sebanyak $5,000, piala pusingan, trofi dan pingat kemenangan. Manakala, naib johan akan menerima hadiah wang tunai sebanyak $3,000, trofi dan pingat kemenangan. Bagi tempat ketiga pula akan menerima wang tunai sebanyak $ 1,000, trofi dan pingat kemenangan.
Sementara itu, johan Liga Amatur pula akan menerima hadiah wang tunai sebanyak $1,500, trofi dan pingat kemenangan. Naib johan akan menerima hadiah wang tunai sebanyak $1,000, trofi dan pingat kemenangan. Manakala, tempat ketiga bersama akan menerima wang tunai sebanyak $500, trofi dan pingat kemenangan.
Kejohanan itu bermatlamat untuk mencari bakat baharu yang berpotensi untuk diserapkan dalam program pembangunan atlet, pelapis dan pemain kebangsaan dan seterusnya sebagai promosi bagi menarik minat orang ramai berkecimpung dalam sukan sepak takraw serta sebagai Whole of Nation Approach iaitu penglibatan beberapa buah agensi untuk mengambil peranan masing-masing membawa warga untuk bersama menuju ke arah cara hidup sihat, di samping menghidupkan semula sukan tradisi sepak takraw yang telah lama bertapak di Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai adalah dialu-alukan hadir bagi menyaksikan perlawanan-perlawanan serta majlis penutupan rasmi dan penyampaian hadiah pada hari-hari berkenaan bagi sama-sama memeriahkan dan memberi sokongan Kejohanan Liga Super Sepak Takraw TAIB 2025 dan masuk adalah percuma.
Pihak KKBS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PESTABARU dan Perbadanan TAIB atas kerjasama dalam menjayakan Kejohanan Liga Super Sepak Takraw TAIB semenjak 2023 dan berharap agar kerjasama yang seumpama ini dapat diteruskan di masa hadapan ke arah memajukan sukan sepak takraw dan pembangunan belia di Negara Brunei Darussalam.

