Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Dalam sama-sama menonjolkan semangat kemasyarakatan membantu golongan yang memerlukan, Unity Charity Association bekerjasama dengan DAHA Auto Sdn Bhd untuk mengadakan Kegiatan Amal Menderma Darah yang berlangsung di Bilik Pameran DAHA Auto, kelmarin.
Acara yang disokong oleh Pusat Pendermaan Darah diadakan bermula pukul 9 pagi hingga pukul 12 tengah hari dan berjaya mengumpulkan seramai 46 individu untuk menderma darah.
Antara yang turut menyertai dan memulakan kegiatan menderma darah berkenaan ialah Presiden Unity Charity Association, Jake Goh yang turut menjadi contoh serta pembakar semangat daripada ahli-ahli jawatankuasa Unity serta kakitangan daripada DAHA Auto Sdn Bhd untuk tampil ke hadapan untuk menderma darah dan menunjukkan sokongan mereka terhadap kegiatan berkebajikan itu.

Acara berkenaan mengumpulkan penderma dari segenap lapisan masyarakat yang bersatu dalam keinginan bersama untuk menyumbang khidmat bakti kembali kepada masyarakat. Pihak penganjuran aktiviti daripada Unity Charity Association dan DAHA Auto merakamkan penghargaan kepada semua penderma darah, sukarelawan dan kakitangan perubatan yang sama-sama membantu menjayakan acara berkenaan.
Semua di atas: Antara penderma yang menyertai acara berkenaan.
