BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Seramai 46 peserta yang terdiri daripada pelajar dan alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyertai Bengkel CV dan Temuduga Profesional di Pusat Pekerjaan Brunei, Kampung Beribi kelmarin.
Bengkel berkenaan telah dianjurkan oleh UNISSA melalui Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN) dengan kolaborasi bersama Unit Pembangunan Kemahiran, Keusahawanan dan Inovasi (UPKKI), Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar UNISSA sesi 2024/2025.
Dalam bengkel berkenaan, para peserta diberi pendedahan serta tunjuk ajar mengenai penyediaan CV yang berkesan, teknik menjawab soalan temu duga, serta etika profesional yang relevan dalam menghadapi dunia kerjaya yang mencabar.
Antara objektif utama bengkel ini adalah untuk membantu peserta memahami elemen penting dalam penyusunan CV yang efektif, meningkatkan keyakinan diri dalam komunikasi lisan semasa temuduga serta memberikan kesedaran tentang kepentingan sikap profesional dan etika kerja. Melalui pendekatan praktikal dan interaktif, para peserta turut berpeluang menjalani sesi simulasi temuduga dan menerima maklum balas secara langsung.
Dua fasilitator dari Pusat Pekerjaan Brunei, iaitu Mohd Khairul Hasbullah bin Haji Anuar dan Awang Haji Abd Azim bin Haji Salleh telah dijemput untuk mengendalikan bengkel berkenaan. Sepanjang bengkel berlangsung, para pelajar dan alumni telah berpeluang berinteraksi secara langsung dengan fasilitator, sekali gus memperoleh pendedahan yang bermakna serta ruang untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman berkaitan proses temu duga.
UNISSA akan terus melaksanakan program pembangunan kemahiran seperti bengkel berkenaan bagi memperkasakan pelajar dan alumni, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan. Dengan adanya program sebegini, diharapkan para peserta dapat menghadapi alam pekerjaan dengan lebih yakin, profesional dan berdaya saing.
