RIYADH, 1 Mei – Tentera keselamatan Saudi telah menahan 46 ahli pengganas yang bertanggungjawab bagi dua serangan bom kembar di sebuah balai polis di luar Masjid Nabi di Madinah pada 5 Julai 2016 dan letupan di kawasan letak kereta Hospital Dr. Sulaiman Fakeeh di Jeddah.
Saudi Press Agency (SPA) memetik seorang jurucakap bagi Kementerian Dalam Negeri sebagai berkata, suspek-suspek itu termasuk 32 warga Arab Saudi dan 14 lagi warganegara asing.
“Siasatan kini masih dijalankan untuk menentukan peranan setiap seorang,” tambah jurucakap itu.
Siasatan mendedahkan bahawa kumpulan itu membekalkan tali pinggang letupan kepada seorang pengebom berani mati yang meletupkan dirinya apabila pengawal-pengawal keselamatan mendekatinya berdekatan kawasan letak kereta sebuah hospital di Jeddah. Penyerang itu mati bersama empat pengawal keselamatan dan mencederakan lima yang lain.
Pembunuhan itu disahkan oleh pemimpin-pemimpin luar negara kumpulan itu yang bimbang suspek itu akan memberikan pihak polis butiran mengenai aktiviti dan rancangan mereka.
Suspek itu telah dibunuh dan ditanam di dalam lubang. Bagaimanapun, polis yang menyiasat perkara itu menggali semula mayat tersebut dan ujan-ujian DNA membuktikan dia telah berada dalam senarai dikehendaki polis yang menyatakan dia merupakan pakar bahan letupan. – NNN