NEW YORK, 30 OKT – Lebih 460 pesakit dan waris mereka ditemukan maut di sebuah hospital bersalin di El Fasher, Sudan, ketika laporan mengenai kekejaman berterusan terhadap orang awam.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan bahawa analisis terhadap imej satelit mengesahkan bukti baharu berlakunya pembunuhan di El Fasher, ibu negeri wilayah Darfur Utara dalam tempoh 48 jam selepas bandar itu diambil alih oleh Rapid Support Forces (RSF) pada Ahad.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan sebanyak 185 serangan terhadap kemudahan kesihatan di Sudan, mengakibatkan 1,204 kematian dan 416 kecederaan membabitkan petugas kesihatan dan pesakit sejak konflik bermula pada April 2023, tidak termasuk serangan terbaharu.
Tahun ini sahaja, 966 orang dilaporkan maut dalam 49 serangan.
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pula memaklumkan lebih 36,000 penduduk melarikan diri dari El Fasher antara Ahad dan Selasa.
Menurut IOM, sumber tempatan melaporkan ramai penduduk masih terperangkap di bandar itu akibat keadaan keselamatan yang tidak menentu dan kekurangan pengangkutan untuk melarikan diri.
OCHA berkata bantuan kecemasan kini sedang diselaraskan bersama agensi kemanusiaan di Tawila, kira-kira 40 kilometer dari El Fasher bagi menampung keluarga yang dipindahkan ke kawasan penempatan sesak dan kekurangan tempat perlindungan, sanitasi serta bekalan asas.
Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelarasan Bantuan Kecemasan, Tom Fletcher, kelmarin meluluskan peruntukan tambahan sebanyak AS$20 juta daripada Central Emergency Response Fund (CERF) bagi mempertingkat bantuan kecemasan di Tawila dan kawasan lain di wilayah Darfur serta Kordofan. – Bernama


