Thursday, October 3, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    47 harimau mati di zoo Vietnam

    HANOI, 2 OKT – Sebanyak 47 ekor harimau, tiga singa dan seekor harimau kumbang mati di zoo di selatan Vietnam akibat virus selesema burung (H5N1), kata media kerajaan hari ini.

    Kematian itu berlaku pada Ogos dan September di taman safari peribadi My Quynh di wilayah Long An dan zoo Vuon Xoai di Dong Nai, berhampiran Bandar Ho Chi Minh, lapor agensi berita rasmi Vietnam (VNA).

    Berdasarkan keputusan ujian daripada Pusat Diagnosis Kesihatan Haiwan Kebangsaan, haiwan itu mati ‘disebabkan virus jenis A H5N1,’ kata VNA.

    Bagaimanapun, pihak zoo enggan mengulas apabila dihubungi AFP.

    Sementara itu, tiada kakitangan zoo bersentuhan rapat dengan haiwan berkenaan yang mengalami gejala pernafasan, tambah laporan VNA.

    Education for Nature Vietnam (ENV), sebuah NGO yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan hidupan liar, berkata terdapat kira-kira 385 harimau yang hidup dalam kurungan di Vietnam pada penghujung 2023.

    Sebanyak 310 disimpan di 16 buah ladang dan zoo milik persendirian, manakala selebihnya ditempatkan di kemudahan milik kerajaan.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan sejak 2022, terdapat peningkatan laporan wabak dalam kalangan mamalia yang disebabkan oleh virus influenza, termasuk H5N1.

    Ia juga mengatakan jangkitan H5N1 boleh berlaku daripada ringan hingga teruk pada manusia, dan dalam beberapa kes boleh membawa maut. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda