Saturday, April 19, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    47 pelajar SM Sultan Sharif Ali dirai

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Seramai 47 pelajar dari Sekolah Menengah (SM) Sultan Sharif Ali, Kampung Salambigar telah diraikan atas pencapaian akademik mereka dalam Majlis Penyampaian Anugerah Akademik tahunan sekolah bagi Peperiksaan Brunei-Cambridge (BC) GCE Peringkat O dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) 2024, kelmarin.

    Dalam majlis tersebut, enam pelajar turut diraikan kerana berjaya menamatkan Program Pra-Vokasional selama lima tahun bagi sesi 2020-2024 dengan jayanya.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pemangku Ketua Kampung Sungai Hanching dan Kampung Salambigar, Awang Mohamad Sukairi bin Haji Abdul Rahman yang sekali gus menyempurnakan penyampaian anugerah dan sijil tamat program kepada para pelajar.

    Pada majlis berkenaan telah menyaksikan penyampaian empat kategori anugerah utama iaitu Anugerah Kecemerlangan Akademik; Kategori A* dalam BC GCE Peringkat O dan IGCSE 2024 khususnya dalam mata pelajaran Sastera; Kategori Anugerah Pelajar Progresif dan Kategori Anugerah Pelajar Terbaik, di samping sijil tamat Program Pra-Vokasional.

    Turut hadir, Pengetua SMSSA, Hajah Noor Zinatul Ashiqin binti Haji Ibrahim dan pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan. Rakan-rakan strategik JSS iaitu KFC Brunei Sdn Bhd, Sabli Food Industries Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat Satami juga hadir sebagai tetamu khas.

    Selain itu, tetamu kehormat juga menyampaikan anugerah dan sijil penghargaan kepada 19 guru yang telah menunjukkan peningkatan dalam pencapaian pelajar mengikut mata pelajaran khususnya dalam Bahasa Melayu, IGCSE English, IGCSE Mathematics, Additional Mathematics, Accounting, Sejarah, Fizik, Kimia, Kesusasteraan Melayu dan juga mata pelajaran Food and Nutrition. Tiga orang guru pula telah dianugerahkan atas pencapaian sasaran kebangsaan atau National Target bagi tahun 2024 khususnya dalam mata pelajaran Fizik, Sejarah dan Additional Mathematics.

    Sementara itu, rakan-rakan strategik JSS iaitu KFC Brunei Sdn Bhd, Sabli Food Industries Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat Satami masing-masing menyampaikan sijil penyertaan kerana berjaya menamatkan penempatan latihan kerja pada tahun 2024 kepada enam pelajar Program Pra-Vokasional.

    Dalam pada itu, Pengurus Perolehan dari KFC Brunei Sdn Bhd, Clarice Petrus telah menyampaikan sijil penyertaan kepada empat pelajar Program Pra-Vokasional yang berjaya menamatkan Aktiviti Pembungkusan Kondimen KFC di SM Sultan Sharif Ali, sebuah projek kolaborasi antara KFC Brunei Sdn Bhd dan JSS sejak tahun 2014.

    Di akhir majlis, Awang Irfan Zufayri bin Haji Murdy selaku penerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi tahun 2024 turut berkesempatan menyampaikan ucapan beliau kepada hadirin dengan menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan beliau serta berkongsi kata-kata semangat dan nasihat kepada para pelajar Tahun 11 SM Sultan Sharif Ali tahun 2025.

    Awang Mohamad Sukairi bergambar ramai bersama para pelajar dan guru-guru yang diraikan pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN JSS, KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda