BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Seramai 47 atlet telah menyertai Pertandingan Liga Petanque Brunei bagi bulan Jun di Gelanggang Petanque Kompleks Sukan Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas, kelmarin.
Antara kategori yang dipertandingkan dalam perlawanan tersebut ialah Kategori Lelaki Division 1, Kategori Lelaki Division 2, Kategori Perempuan dan Kategori Beginner.
Dalam Kategori Lelaki Division 1 telah dimenangi oleh Wirna bin Haji Mohd Yassin, diikuti oleh Abdul Afiq bin Abdul Aziz dan Ramblie bin Hamit di tempat kedua dan ketiga. Haji Tuah bin Amat pula muncul juara dalam Kategori Lelaki Division 2, diikuti di tempat kedua dan ketiga oleh Hamdanie bin Neneng Mulyani dan Haji Abdul Karim bin Haji Ahmad.
Dalam Kategori Perempuan pula dimenangi oleh Khairul Bariyah binti Khairul Anwar, diikuti oleh Wedy Nurul Suzuna binti Luon dan Hajah Surianah binti Haji Abdul Timbul di tempat kedua dan ketiga. Sementara dalam Kategori Beginner telah dimenangi oleh Mohd Haziq bin Mohd Razale, diikuti oleh Mohd Yazid bin Norafaizal dan Mohd Azren bin Saeran di tempat kedua dan ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Presiden Persekutuan Petanque Brunei Darussalam, Haji Mohamad bin Panglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah.
Para atlet terdiri daripada petanque kebangsaan lelaki, atlet petanque kebangsaan perempuan, atlet petanque kebangsaan remaja, pasukan petanque Limbang, pasukan petanque Lawas dan pasukan petanque Miri.
Menurut pegawai penyelaras pertandingan tersebut, Dayang Surtini binti Haji Abidin bahawa penyertaan pemain-pemain yang ikut serta dalam Liga Petanque Brunei bagi bulan Jun adalah semakin menggalakkan.
Dalam pada itu, Persekutuan Petanque Brunei Darussalam dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan juga sentiasa memberi dorongan, peluang dan pendedahan kepada pemain-pemain muda untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam sukan ini.
