Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Program Sivik Negara Brunei Darussalam dihasratkan dapat membuka minda para belia untuk lebih berinovasi, berfikiran kritikal, berdaya tahan dan mempunyai tahap kepedulian sosial yang baik sesama masyarakat.
Perkara itu amat penting kerana belia merupakan bakal pemimpin yang akan menentukan hala tuju negara supaya kekal sejahtera, mampan dan harmoni berteraskan nilai-nilai Melayu Islam Beraja.
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Awang Emzah dalam ucapannya pada Majlis Pembukaan Program Sivik Negara Brunei Darussalam Kali Kedua bagi Tahun 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan, hari ini.
Di samping itu, belia juga menyeru para belia untuk sama-sama memajukan negara, berfikiran kental, berdaya saing dan tidak mudah berputus asa dengan melengkapkan diri dengan calak Brunei iaitu akhlak dan perilaku yang baik serta pengetahuan am yang meluas.
Program lima hari yang bermula 30 Ogos hingga 4 September tersebut dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik.
Program berkenaan disertai oleh seramai 47 peserta, yang terdiri daripada lepasan ijazah dan mahasiswa/mahasiswi dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta mahasiswa-mahasiswi dari institut pengajian tempatan dan yang menjalani penempatan kerja di Jabatan Penerangan.
Sepanjang program berkenaan diadakan, para peserta didedahkan kepada beberapa siri taklimat dan lawatan sambil belajar ke beberapa buah agensi kerajaan dan swasta. Selain itu, peserta juga akan terlibat dalam aktiviti bersama masyarakat kampung.
Program Sivik Negara Brunei Darussalam bermatlamat untuk memberi kefahaman dan maklumat terkini kepada masyarakat mengenai hal ehwal negara dan kerajaan, memastikan rakyat sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, memupuk serta menanam semangat kenegaraan yang berasaskan falsafah konsep MIB, dengan menekankan nilai-nilai budaya, agama, dan kedaulatan yang menjadi asas identiti negara.




