Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    47 terima sijil bengkel esei sejarah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Seramai 47 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang persendirian, serta mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, petang kelmarin, telah menerima sijil penyertaan masing-masing pada Majlis Penutup Bengkel Penulisan Esei Sejarah Brunei Tahun 2024 di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei (PSB).

    Bengkel yang telah berlangsung selama dua hari itu antara lain bertujuan untuk memberikan bimbingan, kefahaman dan kesedaran kepada orang ramai khusus kepada pengkaji dan peminat sejarah mengenai kepentingan mengetahui kaedah dan teknik penulisan esei sejarah yang berkualiti dan bersifat ilmiah.

    Sehubungan itu, hadir selaku tetamu khas seterusnya menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta ialah Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.

    Bengkel tersebut dibimbing oleh empat orang fasilitator yang terdiri daripada Pegawai Pusat Sejarah, Dr Mardiah binti Haji Ramli; Penolong Pegawai Sejarah Tingkat II, Dayang Siti Norhafizah binti Alias; Pengarang Kanan, Dayang Siti Nadhrah binti Norzelan; dan Pengarang, Dayang Rabi’atul’adawiyah binti Haji Suhaili.

    Para fasilitator telah mengongsikan tajuk mengenai Sumber Persejarahan Brunei, Pengolahan Sumber dalam Penulisan Esei, Landasan Teori Penulisan Sejarah, serta Format dan Teknik Penulisan Esei Sejarah Jurnal Darussalam.

    Turut dimuatkan semasa bengkel berkenaan ialah sesi perkongsian oleh penulis dan penyelidik sejarah iaitu Dayang Farahaina binti Anchong yang juga merupakan Pegawai Sejarah di PSB.

    Melalui bengkel itu, para peserta telah menimba pengetahuan menerusi pendedahan mengenai sumber persejarahan negara dan diberikan tunjuk ajar mengenai teknik pengolahan sumber bagi menghasilkan penulisan esei sejarah yang berkualiti.

    Dalam pada masa yang sama, para peserta juga berpeluang mengikuti sesi latihan penulisan secara praktikal dengan menghasilkan penulisan sejarah berpandukan format dan teknik penulisan hasil perkongsian yang disampaikan oleh fasilitator-fasilitator bengkel.

    Dengan pelaksanaan bengkel ini, ia juga sebagai persediaan bagi Peraduan Menulis Esei Sejarah Brunei Tahun 2024-2025 yang masih dibukakan penyertaan kepada orang ramai berumur 18 tahun ke atas yang akan ditutup penyertaannya pada 30 September.

    ATAS & BAWAH: Dr Haji Muhammad Hadi menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PSB
    GAMBAR SERAHAN PSB
    Dr Haji Muhammad Hadi dan para peserta bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PSB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda