Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    48 maut dalam gempa di Jepun

    WAJIMA, 2 JAN – Pasukan penyelamat Jepun bergelut dengan masa dan gegaran susulan yang kuat hari ini untuk mencari mangsa yang terselamat daripada gempa bumi Hari Tahun Baharu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 48 orang dan menyebabkan kemusnahan yang meluas.

    Gempa bumi berukuran 7.5 magnitud yang menggegarkan wilayah Ishikawa di pulau utama Honshu mencetuskan ombak tsunami setinggi lebih satu meter, meruntuhkan rumah-rumah, mencetuskan kebakaran besar dan memusnahkan jalan raya.

    Di Semenanjung Noto, kemusnahan termasuk bangunan yang rosak akibat kebakaran, rumah ranap, bot nelayan karam atau terdampar dan lebuh raya yang dilanda tanah runtuh.

    “Saya terkejut rumah itu rosak dan semua ahli keluarga saya berjaya keluar dari situ tanpa cedera,” kata Akiko, berdiri di luar rumah ibu bapanya yang condong di bandar Wajima yang terjejas teruk.

    Permulaan tahun 2024 ‘akan terpahat dalam ingatan saya selama-lamanya,’ katanya kepada AFP selepas gempa bumi ‘dahsyat’ kelmarin.

    “Ia adalah satu gegaran yang kuat,” Tsugumasa Mihara, 73, memberitahu AFP ketika dia beratur bersama ratusan yang lain untuk mendapatkan air di bandar Shika.

    Pihak berkuasa tempatan melaporkan 48 orang terbunuh, tetapi jumlah itu dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat mencari di bawah runtuhan.

    “Kerosakan yang sangat besar telah disahkan, termasuk ramai korban, bangunan runtuh dan kebakaran,” kata Perdana Menteri, Fumio Kishida selepas mesyuarat tindak balas bencana. – AFP

    Foto udara menunjukkan beberapa buah rumah musnah akibat kebakaran besar di Wajima, wilayah Ishikawa. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda