Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Dalam usaha untuk memberi bantuan dan sebagai khidmat bakti kepada masyarakat, seramai 48 orang telah menyertai kempen menderma darah yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Viddacom Muara Integrated Supply Base (MISB) di bangunannya di Tapak Perindustrian Serasa, hari ini.
Kempen tersebut diadakan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dari 9 pagi hingga 2 petang tadi.
Menurut pegawai pentadbiran Viddacom MISB, Dayang Siti Hidayah binti Haji Shadoon, kempen tersebut bermatlamat untuk memberi kesedaran dan menanam sikap bertanggungjawab dalam kalangan individu untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dengan menderma darah.
Kempen itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosial syarikat untuk menanamkan semangat peka, kasih dan bertanggungjawab dalam kalangan pekerja syarikat terhadap keperluan masyarakat umum.
Ia juga bagi meneruskan lagi usaha pihak syarikat membantu Pusat Pendermaan Darah untuk menambahkan stok darah di pusat berkenaan.
