Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    48 sertai bengkel halusi bacaan Surah Al-Fatihah

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Seramai 48 peserta terdiri daripada para belia masjid serta pelapis imam dan bilal kawasan Daerah Brunei dan Muara telah menyertai Bengkel Menghalusi Bacaan dan Kefahaman Surah Al-Fatihah yang berlangsung di Masjid As-Salam, Kampung Junjongan.

    Bengkel tersebut anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid As-Salam, Kampung Junjongan.

    Fasilitator bagi bengkel tersebut ialah Haji Mohd Daud bin Haji Abdul Kadir dan Pegawai Hal Ehwal Masjid dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Kampung Bebatik Kilanas, Awang Adee Aiman bin Haji Muhidin.

    Antara objektif bengkel itu adalah untuk memberikan kesedaran kepada para belia mengenai kepentingan memahami makna Surah Al-Fatihah serta penghayatan terhadap ayat-ayatnya dalam solat, di samping memperkukuh ukhuwah dalam kalangan belia masjid.

    Bengkel turut memberi fokus kepada aspek teori dan praktikal bacaan Surah Al-Fatihah secara tepat dari segi tajwid dan sebutan, agar para peserta dapat meningkatkan mutu ibadah mereka, khususnya dalam solat harian.

    Penganjuran bengkel itu juga dilihat sebagai salah satu usaha berterusan dalam mendidik para belia menjadi insan yang berilmu, berakhlak mulia serta seimbang dalam pelbagai aspek kehidupan, selaras dengan nilai-nilai Islam yang syumul.

    Dengan pendedahan dan bimbingan yang diberikan, diharapkan bengkel itu akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kefahaman terhadap makna Surah Al-Fatihah dan mendorong ke arah penghayatan solat yang lebih khusyuk serta mengeratkan hubungan dengan Allah SWT.

    ATAS & BAWAH : Para peserta semasa menyertai Bengkel Menghalusi Bacaan dan Kefahaman Surah Al-Fatihah. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda