Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Dengan tujuan murni bagi sama-sama membantu golongan yang kurang bernasib baik di negara ini dalam meringankan beban seharian mereka, sehubungan itu Projek Bina Bakti dengan soko-ngan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Bahagian Pembangunan Mualaf Pusat Dakwah Islamiah (PDI) telah mengadakan Majlis Pelancaran Program Menyantuni Masyarakat Edisi ke-1, hari ini.
Seramai 48 orang penerima terdiri daripada golongan asnaf mualaf, ibu tunggal dan keluarga yang kurang berkemampuan telah menerima sumbangan keperluan asasi sumbangan dari Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITHSB) dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB). Dari jumlah keseluruhan tersebut, seramai 15 orang penerima terdiri daripada golongan mualaf di bawah kendalian Bahagian Pembangunan Mualaf PDI.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan PDI, Pulaie itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Rosli bin Haji Ibrahim.
Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (Perbandaran dan Daerah), Haji Ahmad Nizam bin Dato Paduka Haji Ismail; Pengerusi Muafakat Islam Wilayah Persekutuan Labuan, Dato Seri Shuib bin Nasir; pengarah PDI; ketua bahagian pembangunan mualaf; ahli-ahli penasihat tertinggi Projek Bina Bakti; pegawai-pegawai dari PDI; dan para jemputan khas yang terdiri daripada para penaja dan
persendirian.
Sejurus sesi pelancaran, Haji Rosli kemudian menyampaikan sumbangan kepada 24 orang penerima dan diteruskan lagi penyampaian sumbangan kepada 24 orang penerima lagi yang telah disampaikan oleh Haji Ahmad Nizam.