Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    480 trak bantuan masuk Gaza susulan perjanjian gencatan senjata

    ISTANBUL, 17 OKT – Pihak berkuasa tempatan di Gaza memaklumkan bahawa kira-kira 480 trak bantuan telah memasuki wilayah yang dikepung itu Rabu lalu di bawah perjanjian gencatan senjata dengan Israel, lapor Anadolu Ajansi.

    Pejabat Media Kerajaan Gaza dalam satu kenyataan kelmarin berkata sejumlah 653 trak bantuan dibenarkan masuk ke wilayah itu sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober.

    Fasa pertama perjanjian gencatan senjata itu berkuat kuasa di bawah pelan yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menamatkan serangan Israel selama dua tahun di wilayah Palestin.

    Di bawah perjanjian itu, 600 trak bantuan kemanusiaan sepatutnya memasuki Gaza setiap hari, termasuk yang membawa bahan api dan gas memasak.

    Menurut pengarah pejabat media itu Ismail al-Thawabta, Israel membenarkan kemasukan hanya 173 trak bantuan, termasuk tiga membawa gas memasak dan enam membawa bahan api Ahad lalu, namun tiada penghantaran bantuan dibenarkan masuk pada Isnin atau Selasa.

    Pejabat itu dalam kenyataannya menegaskan bahawa jumlah bantuan yang sampai ke Gaza masih amat terhad, dengan menyifatkannya sebagai hanya setitis dalam lautan keperluan’.

    Ia menekankan bahawa Gaza memerlukan 600 trak bantuan setiap hari bagi memastikan bekalan minyak, gas memasak, serta bahan-bahan bantuan segera dan perubatan yang berterusan.

    Pejabat itu berkata, agensi kerajaan Gaza terus berkoordinasi dengan pertubuhan bantuan dan kemanusiaan antarabangsa untuk mengatur kemasukan dan pengagihan bantuan yang adil bagi memastikan ia sampai kepada seluruh penduduk Palestin.

    Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah membunuh hampir 68,000 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan menjadikannya sebahagian besarnya tidak boleh didiami. – Bernama/Anadolu

    Sebuah trak bawa bantuan dari Program Makanan Sedunia (WFP) di jalan raya Deir el-Balah,Gaza pada 15 Oktober.  480 trak bantuan telah memasuki Gaza. – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda